BSH 2019 kategori bujang RM100 |
---|
Berdasarkan keputusan Kabinet pada tahun lalu, Kerajaan telah menyediakan Bantuan Sara Hidup (BSH) pada tahun 2019 dengan mengutamakan keluarga dan telah menyediakan kadar tambahan mengikut bilangan anak di bawah tanggungan. Namun begitu, YAB Perdana Menteri telah menekankan bahawa isu tekanan kos sara hidup perlu diberi perhatian bagi semua yang berkeperluan dalam masa terdekat. Inilah sebabnya bayaran BSH sebanyak RM300 dibayar pada 28 Januari 2019 kepada semua isi rumah yang berkeluarga sungguhpun masih berdasarkan pengkalan data lama yang belum dikemaskini. Tambahan, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Pakatan Harapan telah menyarankan supaya turut dibantu anak muda yang belum berkahwin dan bekerja tetapi berpendapatan kecil. Lantaran saranan tersebut dan sebagai menepati hasrat Kerajaan berjiwa rakyat yang berkeprihatinan, Kementerian Kewangan, sebagai permulaan, akan membuat bayaran RM100 kepada setiap individu yang terdaftar di bawah kategori bujang dalam pangkalan data BSH 2018. Bayaran tersebut akan dibuat pada hujung bulan Mac 2019 dan dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka. Bayaran ini akan memanfaatkan lebih daripada 3 juta individu dan melibatkan peruntukan RM300 Juta. Berhubung dengan bayaran selanjutnya, kadar bantuan BSH bagi 2019 untuk golongan bujang akan dikaji semula dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada: bsh@treasury.gov.my. Sayangi Malaysiaku! Lim Guan Eng Menteri Kewangan Kementerian Kewangan Malaysia Putrajaya 19 Februari 2019 |
sumber: treasury.gov.my |
Selasa, 19 Februari 2019
Laman Utama »
» BSH 2019 kategori bujang RM100